FORUM “SHOULD EDUCATION BE FREE?
(WAJARKAH SISTEM PENDIDIKAN DIJADIKAN PERCUMA?)
Sesi turun padang di Selangor pada 9 Mei dimulakan dengan sebuah forum yang dianjurkan oleh IDEAS yang bertajuk “Should Education Be Free? (Wajarkah Sistem Pendidikan Dijadikan Percuma?)”. Forum tersebut diserikan dengan kehadiran 4 orang ahli panel yang terdiri daripada Hasbullah Fauzi dari Universiti Terbuka Anak Muda, Datin Noor Azimah Abdul Rahim sebagai Pengerusi Parents Action Group for Education (PAGE), YB Ong Kian Ming dari DAP, serta Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
Forum tersebut dimulakan dengan Hasbullah Fauzi yang menyatakan bahawa perbelanjaan untuk sistem pendidikan mesti ditanggung sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pembayaran secara langsung ialah apabila ibu bapa membayar secara terus untuk sistem pendidikan bagi anak-anak mereka. Pembayaran secara tidak langsung pula berlaku apabila rakyat Malaysia selaku pembayar cukai menanggung perbelanjaan untuk seluruh sistem birokrasi pendidikan didalam negara walaupun ibu bapa tidak membayar secara langsung bagi sistem pendidikan. Selain itu, Hasbullah juga membincangkan konsep capaian bagi sistem pendidikan yang berkualiti tinggi. Menurut beliau, pada masa ini, peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti tinggi hanya terbuka kepada golongan berada. Anjakan paradigma hendaklah dilaksanakan bagi mengubah sistem pendidikan yang berkisarkan perindustrian dan penghasilan pekerja kepada sistem pendidikan yang berkisarkan manusiawi dan penghasilan rakyat yang kreatif, inovatif dan berfikiran kritis. Datin Noor Azimah pula menyatakan bahawa mereka yang berkemampuan pasti akan mengeluarkan anak-anak mereka dari sistem pendidikan nasional untuk belajar di sekolah swasta dan antarabangsa. Perkara ini menimbulkan masalah kerana pelajar-pelajar dari keluarga kaya kebanyakaannya mempunyai keputusan pendidikan yang lebih baik berbanding pelajar dari keluarga miskin. Apabila pelajar dari keluarga kaya kurang bergaul dengan pelajar dari keluarga miskin, persaingan sihat di dalam sekolah kebangsaan akan berkurang disamping menimbulkan masalah integrasi dan perpaduan nasional di antara golongan kaya dan miskin. Masalah-masalah sistemik yang wujud dalam sistem pendidikan negara dihujahkan oleh YB Ong Kian Ming sebagai permasalahan yang boleh diselesaikan oleh eksperimentasi.
Menurut beliau, perbelanjaan yang tinggi untuk sistem pendidikan di Malaysia adalah tidak sejajar dengan kualitinya yang dilihat rendah. Ini dibuktikan dengan ranking pelajar Malaysia yang hanya mampu mencapai ranking 1/3 dari bawah di dunia, dikalahkan oleh negara yang lebih miskin seperti Vietnam. Beliau menunjukkan statistik membuktikan jurang yang semakin membesar di dalam sistem pendidikan negara; jurang antara pelajar lelaki dan perempuan, jurang antara pelajar bandar dan luar bandar, jurang antara pelajar dari golongan berada dan kurang berada. Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Pegawai Eksekutif organisasi pemikir liberal dan berorientasikan pasaran bebas pula berhujah bahawa sistem pendidikan yang bermasalah pada masa ini berpunca dari monopoli sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Menurut beliau, di Amerika Syarikat dan Malaysia, sistem pendidikan di dua buah negara tersebut asalnya disediakan oleh orang perseorangan dan institusi keagamaan yang bebas dari kuasa kerajaan. Masalah mula timbul apabila pihak kerajaan dilihat mengambil alih sistem pendidikan dari pihak swasta dan natijahnya kualiti sistem pendidikan jatuh. Hasil perbincangan dengan hadirin pada pagi itu membuahkan beberapa rumusan. Antara rumusan tersebut ialah kebebasan untuk bereksperimen dengan sekolah yang berbeza harus diberikan oleh kerajaan kepada organisasi swasta bagi memberikan wadah untuk rakyat menambah baik kualiti pendidikan anak-anak mereka.
TURUN PADANG: BERTEMU PERKASA DAN HINDRAF
Program Felo Muda Perpaduan Nasional diteruskan dengan perjumpaan dengan dua buah organisasi yang sering dilihat sebagai ekstremis dan berbaur perkauman iaitu PERKASA dan HINDRAF. Perjumpaan dengan Encik Uthayakumar dari HINDRAF merupakan perjumpaan yang agak menarik. Encik Uthayakumar berhujah bahawa di Malaysia terdapat rasisme sistemik yang spesifik terhadap kaum India. Perjuangan beliau dilihat berbeza dari perjuangan PERKASA dan ISMA kerana menurut beliau, HINDRAF memperjuangkan hak asasi manusia bagi kaum India manakala organisasi seperti PERKASA dan ISMA memperjuangkan keistimewaan kaum Melayu. Encik Uthayakumar menyamakan perjuangan HINDRAF dengan perjuangan kebebasan sivil oleh golongan kulit hitam di Amerika Syarikat. Di Amerika, slogan “Black Lives Matter (Nyawa Rakyat Kulit Hitam Juga Penting)” menjadi buah mulut dalam kalangan pejuang aktivis sosial di Amerika, namun di Malaysia, menurut Encik Uthayakumar, nyawa orang India dipandang enteng oleh kerajaan. Beliau merekodkan kematian dalam tahanan bagi masyarakat India. Menurut statistik yang beliau berikan, sebelum tahun 2007, secara puratanya seorang individu berbangsa India meninggal dalam tahanan setiap dua minggu. 70% dari mangsa tembakan polis pada masa itu juga merupakan individu berbangsa India. Selain isu nyawa masyarakat India yang dipandang enteng oleh kerajaan, Encik Uthayakumar juga berhujah bahawa masyarakt India di Malaysia di diskriminasikan dari aspek keagamaan. Statistik yang diberikan beliau menunjukkan bahawa sebelum demonstrasi yang dianjurkan HINDRAF pada tahun 2007, kerajaan negeri Selangor di bawah Datuk Seri Khir Toyo, bertanggungjawab merobohkan sebuah kuil India setiap 10 hari di Selangor. Encik Uthayakumar merasakan beberapa kerusi majoriti India hendaklah diwujudkan di dalam Dewan Rakyat supaya terdapat ahli parlimen yang benar-benar memperjuangkan nasib masyarakat India. Selain itu, beliau menyeru masyarakat Melayu dan Cina untuk bersama-sama membantu masyarakat India.
LAWATAN KE MASJID BULAT SS 14 PETALING JAYA
Kedua-dua kumpulan felo kemudiannya berjumpa di Masjid Tun Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Masjid Bulat di SS 14 Petaling Jaya. Di situ, felo-felo diperkenalkan dengan pengoperasian masjid di Malaysia. Keaktifan masjid bergantung kepada keaktifan ahli kariah setempat. Ahli Jawatankuasa Masjid Tun Abdul Aziz berusaha untuk menjadikan masjid mereka lebih dari tempat ibadat. Mereka melaksanakan pelbagai program dimana masyarakat setempat, termasuk yang bukan muslim, boleh hadir dan terlibat dengan program tersebut. Mereka menubuhkan Yayasan Semesta Berdaftar (YSB) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ). YSB membantu pihak masjid untuk menjana dana bagi masjid untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan anak-anak yatim bagi persekolahan mereka. Mereka juga mempunyai sekolah angkat dimana, sekolah yang berprestasi rendah dipilih untuk dilaksanakan program kepimpinan dan motivasi. Pelajar yang mengikuti program IPAQ pula boleh membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul dalam masa 30 jam sahaja. Didapati bahawa Masjid Bulat merupakan contoh kejayaan kerjasama masyarakat setempat melaksanakan program yang bermanfaat untuk masyarakat, dengan bantuan minima pihak kerajaan. Hal ini semestinya menunjukkan keupayaan orang perseorangan dan masyarakat setempat untuk hidup beragama tanpa memerlukan institusi keagamaan kerajaan yang dilihat intrusif.
FORUM PENTADBIRAN AGAMA ISLAM DI MALAYSIA: BERSAMA WAKIL JAIS DAN IKIM
Seterusnya, sebuah forum telah diadakan dimana Syeikh Maqari Haji Osman dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Dr Sani Badron dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan panelis. Forum tersebut menyaksikan perbincangan hangat antara felo-felo, staf IDEAS dan para panelis. Antara topik yang dibincangkan adalah peranan pihak berkuasa agama dalam menggubal undang-undang. Selain itu, isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible berbahasa Malaysia, protes sesetengah individu terhadap lambing salib di sebuah gereja dan sebagainya. Umumnya, felo-felo melahirkan rasa risau berkenaan kuasa dan pengaruh pihak berkuasa agama di Malaysia, tanpa sebarang kebertanggungjawaban dan perbincangan yang kritis dalam masyarakat.
Tuntasnya, program turun padang kali ini sememangnya lebih hangat dengan perbincangan topik-topik yang agak sensitif seperti peranan agama dan perkauman dalam pelaksanaan siasah di Malaysia. Bagi mewujudkan sebuah konsep perpaduan nasional yang luas dan inklusif, adalah amat penting sekali bagi felo-felo memahami konsep perpaduan dari sudut pandang yang berbeza dan dilihat “ekstrim”. Oleh itu, perjumpaan dengan PERKASA, HINDRAF dan pihak berkuasa agama adalah perlu bagi menambah baik pemahanman felo tentang definisi perpaduan yang berbeza.